“Perlawanan tamat selepas hanya satu minit,” itu luahan ketua jurulatih Terengganu, Mike Mulvey yang tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya terlepas tiga mata penting selepas kecundang 6-1 kepada Kelantan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi sekaligus gagal memperbaiki kedudukan di dalam Liga Super.
“Pemain-pemain saya menunjukkan keberanian dan kesungguhan malah berjaya menyamakan kedudukan 1-1 namun bolos gol kedua di penghujung babak pertama sukar untuk ditelan.
“Aksi di separuh masa kedua pula kami terlalu memberi ruang kepada pasukan lawan dan kami dihukum. Namun perlawanan ini sudah tamat selepas minit pertama.”
Tindakan Vincent Bikana yang menjatuhkan pemain lawan di dalam kotak penalti ketika situasi pihak lawan berpeluang menjaringkan gol mengundang padah apabila dilayangkan kad merah seterusnya menjadi titik perubahan perlawanan itu.
“Ini tidak adil untuk penyokong-penyokong kami, mereka datang untuk menyaksikan perlawanan ini namun perlawanan sudah ditentukan pada minit pertama lagi.
“Pasukan ini beraksi dengan penuh semangat namun kami tewas kerana beraksi dengan 10 pemain dan saya tidak menyalahkan pemain-pemain di atas komitmen yang ditunjukkan tapi itulah hakikatnya, kami kekurangan pemain.
Ketiadaan Bikana yang akan digantung menambahkan lagi masalah Terengganu yang sudah kehilangan pemain berpengaruh, Gustavo Lopez dan Ismail Faruqi Ashari sehingga tamat musim ini dan Yong Kuong Yong yang masih cedera.
“Sudah tentu kami perlu untuk bangkit dengan segera dan memberikan yang terbaik namun kelonggaran barisan pertahanan kami menyukarkan keadaan.
“Bogdan (Milic) beraksi selama 90 minit menentang Melaka United dan memberitahu mahu terus beraksi jadi saya memberikan dia 60 minit pada perlawanan malam ini (semalam) namun saya bersimpati dengan Ashaari (Samsuddin), Norshahrul (Idlan Talaha) dan Joseph (Kallan Tie) kerana mereka layak untuk beraksi dan tidak seharusnya berada di bangku simpanan namun hanya mereka hanya sempat dimasukkan ketika kami sudah ketinggalan tiga dan empat gol.
“Kami perlu bangkit dan fokus untuk perlawanan menentang Felda United, kemudian bertandang ke Ipoh menentang Perak.
“Yang penting kami tidak menyerah kalah, kami tidak akan sesekali mengundur diri. Kami akan bangkit dan menyerah kalah bukan satu pilihan seperti mana anda lihat persembahan pemain-pemain saya malam ini jadi kami akan teruskan perjuangan ini dan memberi sokongan kepada pasukan,” katanya lagi.