Pelajar Sekolah Ponteng Dicekup Bersama 12,000 Pil Kuda


KUALA TERENGGANU - Seorang pelajar lelaki yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dipercayai pengedar pil kuda di sekitar kawasan Kuala Terengganu dan Chendering, di sini, ditahan bersama 12,900 biji pil kuda yang dianggar bernilai RM193,500 di sebuah rumah di Kampung Dalam Kedai Buloh, di sini, Isnin lalu.

Pelajar berusia 17 tahun itu ditahan dalam satu serbuan kira-kira jam 11 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu hasil risikan dan maklumat dibuat sejak tiga bulan lalu.

Semasa serbuan, suspek dijumpai sedang lena tidur di dalam salah sebuah bilik dan selepas memperkenalkan diri, polis menjalankan pemeriksaan di dalam bilik tersebut sebelum suspek menunjukkan tiga bungkusan yang berada di belakang rak kayu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu Superintendan Roslan Tahir berkata, suspek menyerahkan dua bungkusan kertas berwarna kekuningan dan satu bungkus kertas berwarna putih.

“Pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan diserahkan itu menemui sebanyak 12,772 pil berwarna merah dan 128 pil berwarna hijau dengan jumlah keseluruhan pil sebanyak RM12,900 yang dianggarkan seberat 1,269.33 gram.

“Ketika ini, pil berkenaan dipercayai dijual di pasaran dengan harga RM15 setiap biji dengan jumlah rampasan keseluruhan bernilai RM193,500,” katanya dalam satu sidang media di IPK Terengganu, di sini, hari ini.

Roslan berkata, siasatan awal mendapati suspek yang masih bersekolah itu memang mempunyai masalah disiplin di sekolahnya iaitu ponteng sekolah serta gagal hadir ke sekolah sejak 10 Julai yang lalu.

“Siasatan turut mendapati suspek dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah ini sejak tiga bulan lalu dan menjadi pengedar di kawasan Kuala Terengganu serta Chendering, di sini.

“Kita yakin stok bekalan dadah yang dirampas ini baru sahaja sampai ditangan suspek sehari sebelum serbuan dilakukan,” katanya yang turut mengesahkan suspek negatif dadah hasil pemeriksaan ujian saringan awal air kencing yang dilakukan.

Jelasnya, suspek yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik itu juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan individu lain yang turut sama terbabit dalam pengedaran dadah ini dan mengenal pasti punca bekalan bahan terlarang itu diambil.

“Suspek kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika disabitkan kesalahan,” katanya. - SH