Pasukan Terengganu Semakin Terhimpit


KUALA TERENGGANU 29 Julai – Dua gol yang merobek gawang Terengganu dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam kelmarin membuatkan skuad Penyu semakin terhimpit dengan krisis keyakinan peminat ekoran prestasi hambarnya dalam beberapa siri perlawanan terakhir sebelum ini.

Lebih memalukan apabila Terengganu yang pada awalnya turun dengan harapan untuk mengutip tiga mata penuh itu diaibkan di laman sendiri oleh PDRM, pasukan yang sebelumnya berada di tempat kedua tercorot liga.

Namun pengendali sementara Terengganu, Mustaffa Kamal Abdul Wahab, yang baru menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih selepas Mike Mulvey direhatkan, menyifatkan faktor kecederaan yang membelenggu beberapa tonggak utama sebagai punca kekalahan.

Katanya, faktor ini menyebabkan jentera di setiap posisi gagal berfungsi dengan baik sehingga membolehkan PDRM menggunakan peluang itu untuk menghukum Penyu dengan membolosi gawang Mohd. Amierul Hakimi dua kali.

“Faktor kecederaan menghalang saya meletakkan pemain terbaik dalam skuad yang saya ada.

“Ketiadaan tonggak seperti Ismail Faruqi dan Gustavo Lopez selain Sharbinee (Allawee Ramli) yang turut dibelenggu kecederaan merencatkan sedikit percaturan saya dan PDRM bijak menggunakan kelemahan itu,” katanya selepas perlawanan di sini semalam.

Dua gol PDRM dihasilkan oleh Mohd. Safuwan Baharudin dan Guilherme De Paula, masing-masing pada minit ke-58 dan 66. – UM