Pasukan Terengganu Azam Bangkit Tebus Kekecewaan


PENGENDALI skuad bola sepak Terengganu FA, Mustaffa Kamal Abd Wahab mengakui barisan serangannya perlu lebih tajam menyudahkan peluang yang ada jika mahu mara lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia.

Menurutnya kegagalan jentera pengempur melakukan penyudah yang baik meletakkan pasukan itu dalam keadaan sukar sehingga menduduki tangga terbawah Kumpulan D.

"Tumpuan akan diberikan kepada usaha mengukuhkan semua posisi, lebih-lebih lagi barisan depan yang kerap melepaskan peluang," katanya selepas perlawanan menentang Negeri Sembilan di sini malam tadi.

Dalam perlawanan itu, jaringan awal penyerang import, Bogdan Milik pada minit ke-23 tidak cukup untuk tuan rumah apabila lawan menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Goran Jerkovic pada minit ke-72 sebelum Muhd Afiq Azmi menjaringkan gol kemenangan Negeri Sembilan, tujuh minit selepas itu.

Mustaffa Kamal yang mengambil alih tugas itu daripada Mike Mulvey yang direhatkan dua minggu lepas, bagaimanapun berjanji skuad itu akan bangkit memberikan aksi yang lebih baik untuk kempen Piala Malaysia dan Liga Super.

"Saya akui situasi ini adalah sukar untuk pasukan, namun sebagai jurulatih saya perlu memikul tanggungjawab dan risiko kalah atau menang," katanya.

Mengulas pemilihan pemain untuk perlawanan malam tadi, Mustaffa Kamal berkata beliau yakin dengan kesebelasan utama yang diturunkan, namun nasib belum berpihak kepada Terengganu. - B