Kuching : Olahraga dan memanah mendapat pengiktirafan besar dalam majlis penutup Sukan Malaysia (Sukma) 2016 apabila dua atletnya dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati di Stadium Sarawak di Petra Jaya, dekat sini malam ini.
Pemegang rekod 100 meter kebangsaan yang baharu Khairul Hafiz Jantan dinobatkan sebagai olahragawan manakala Nur Aqilah Yusof dipilih sebagai olahragawati selepas kejayaannya memecahkan rekod 70m recurve individu.
Khairul Hafiz dari Melaka mencipta rekod baharu kebangsaan acara 100 meter selepas mencatat 10.18 saat dalam perlumbaan akhir, memecahkan rekod bekas raja pecut kebangsaan dari Sarawak, Watson Nyambek 10.30 saat yang dilakukan 18 tahun lalu.
Selain catatannya itu, faktor lain yang membuatkan dia menjadi pilihan terbaik untuk menerima anugerah atlet lelaki terbaik itu adalah dia turut memenangi tiga pingat emas lain.
Jaguh kelahiran Bukit Katil itu turut mencipta rekod baharu Sukma dalam acara 200m dan membentuk gandingan mantap bersama Badrul Hisyam Abdul Manap, Asnawi Hashim dan Azam Masri untuk muncul juara dalam acara lari berganti-ganti 4x100m dengan satu lagi rekod baharu kejohanan.
Khairul Hafiz, Badrul Hisyam, Azam dan Emyrul Haziq Borhan kemudiannya memenangi acara 4x400m.
Khairul Hafiz berkata, dia berasa bangga dengan pencapaiannya dan tidak menyangka akan dinobatkan sebagai olahragawan temasya dwitahunan kali ke-18 ini.
“Saya berasa sangat bersyukur dan selepas ini saya akan mengikut segala arahan jurulatih (Poad Md. Kassim) kerana itu adalah yang terbaik. Saya juga akan beraksi sebaik mungkin dalam kejohanan Terbuka Malaysia September ini,” katanya.
Sementara itu, Olahragawati Sukma 2016, Nur Aqilah Yusof dari Terengganu memecahkan rekod kebangsaan milik Mon Redee Sutxi dari Kedah dalam laluannya untuk memenangi pingat emas acara 70m recurve individu.
Nur Aqilah memadam rekod lama kebangsaan 328 mata dilakukan Mon Redee dalam Sukan SEA Vietnam 2003 dengan catatan 331.
Dia juga berjaya meraih emas dalam acara 60m individu dan berpasukan wanita recurve, selain dua gangsa menerusi acara 30m dan perseorangan recurve wanita.
“Sebenarnya saya tidak sangka dapat memenangi anugerah ini kerana banyak saingan dari atlet sukan lain dan mereka juga ada yang memecahkan rekod kebangsaan. Apa pun saya gembira dapat pecah rekod tahun ini dan rahsia kejayaan saya ialah berlatih enam hari seminggu,” jelasnya.
Selain menerima trofi olahragawan dan olahragawati, Khairul Hafiz dan Aqilah turut menerima wang tunai sebanyak RM5,000 atas kejayaan mereka. - UM