Meninggal Dunia Ketika Menyampaikan Kuliah Maghrib

Ustaz Ramli dibaringkan jemaah selepas beliau tiba-tiba tidak sedarkan diri ketika menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah, malam semalam.


DUNGUN - Jemaah di Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah, di sini, gempar apabila seorang ustaz yang sedang menyampaikan kuliah Maghrib,  diserang sakit jantung dan meninggal dunia, malam semalam.

Mohd Ramli Ahmad, 66,  menyampaikan kuliah kira-kira jam 8 malam, tiba-tiba tidak sedarkan diri di tempat duduknya.

Imam masjid berkenaan, Mohd Faiz Azmi Abd Kadir berkata, Mohd Ramli  adalah penceramah kuliah mingguan di masjid itu setiap Jumaat.

“Difahamkan, sebelum kuliah ada jemaah menegurnya tetapi dia hanya mendiamkan diri sahaja.

“Mungkin dia sudah rasa tak sihat tetapi tetap teruskan kuliah seperti biasa. Sebelum teruskan kuliah, dia melakukan mukadimah terlebih dahulu dan  baca al-Fatihah tetapi tidak berapa jelas.

"Belum sempat dia menyampaikan kuliah, tiba-tiba  dia terdiam dan tidak bermaya di kerusinya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mohd Faiz berkata, melihat keadaan itu, jemaah membaringkannya di lantai.

“Dia mungkin terkena serangan jantung dan setelah diperiksa, dia disahkan telah meninggal dunia.

Mangsa dibawa ke Hospital Dungun dengan bantuan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM)," katanya.

Sementara itu,  Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob mengesahkan kejadian dan  berdasarkan laporan perubatan mengesahkan punca kematian  disebabkan kegagalan jantung.

“Berdasarkan keterangan ahli jemaah, sebelum menyampaikan tazkirah, mangsa melakukan senaman regangan tangan dan memicit bahagian dada.

“Dia duduk di kerusi untuk memulakan mukadimah tetapi tiba-tiba terdiam tidak bermaya," katanya. - SH