Pemangku ketua jurulatih Terengganu, Mustaffa Kamal Abd Wahab, mengakui kegagalan barisan penyerang pasukannya memanfaatkan peluang jelas menjadi pemisah ketika kekalahan 1-2 kepada Negeri Sembilan dalam saingan Piala Malaysia semalam.
“Separuh masa pertama, kami hanya jaringkan satu gol daripada tiga peluang yang diperoleh manakala pada babak kedua, kami ada banyak sehingga empat peluang tetapi gagal menyempurnakan kesemuanya.
“Inilah bola sepak, apabila pihak lawan mendapat peluang menerusi sepakan penalti dan gol kedua menerusi sepakan penjuru, mereka berjaya menjaringkan dua gol dan itu yang membezakan keputusan perlawanan.
“Memang kami menguasai perlawanan dan pemain-pemain yang diturunkan juga berkesan, namun tindakan penyudah yang menjadi masalah kepada kami.”
Beraksi di hadapan penyokong sendiri menyaksikan Terengganu dilanda tekanan selepas mengalami empat kekalahan dalam lima perlawanan sebelum ini, namun menunjukkan aksi lebih meyakinkan dengan menguasai perlawanan.
Gandingan trio Norshahrul Idlan Talaha, Issey Farran Nakajima dan Bogdan Milic sering menguji penjaga gol pelawat, namun gagal menemui sasaran sehinggalah Milic meletakkan Terengganu di depan pada minit ke-23 selepas menanduk masuk hantaran Issey dari sebelah kiri.
Pada babak kedua juga, skrip sama menjadi penghalang dengan percubaan Ashari Samsuddin dan Fakhrurazi Musa berjaya dinafikan, malah dua percubaan Issey pada minit ke-51 dan minit ke-68 juga gagal memberikan gol kedua walaupun hanya berdepan penjaga gol pelawat, Syed Adney Syed Hussein.
Dua gol pantas Negeri Sembilan menerusi sepakan penalti Goran Jerkovic pada minit ke-72 dan tandukan Mohd Afiq Azmi tujuh minit kemudian, jelas menambah luka Sang Penyu.
“Saya yakin dengan pemain-pemain yang ada tetapi kami kesuntukan masa untuk memperkemaskan penyudah dan itu masalah paling besar.
"Jika kesemua peluang itu dimanfaatkan, mungkin keputusan akan berubah,” katanya.
Terengganu kini di tangga tercorot Kumpulan D dengan tiga mata dan fokus juga perlu diberikan kepada saingan Liga Super dengan semua pasukan mula merebut mata untuk mengelak daripada zon penyingkiran. - AA