KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu bersedia dan menyokong mana-mana pihak atau agensi kerajaan yang ingin membantu meningkatkan sektor pertanian di negeri ini, termasuk penanaman pokok ketum sekiranya ia dibenarkan dan memberi manfaat kepada rakyat.
Menteri Besarnya, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sekiranya penanaman pokok ketum itu dibenarkan dan terbukti memberi manfaat untuk bidang perubatan dan farmaseutikal, kerajaan negeri juga bersedia untuk bekerjasama.
Malah katanya, sekiranya Risda yang berhasrat untuk melaksanakan projek itu sebagaimana dilaporkan, kerajaan negeri tiada masalah, namun harus memastikan ia dibolehkan dan dibenarkan di sisi undang-undang.
“Kita sedia maklum daun ketum ini di bawah Akta Racun 1952, jadi kita harus berhati-hati dan melihat kesannya tetapi jika ia dilaksanakan di bawah satu jabatan di bawah kerajaan, saya yakin keutamaannya akan dilihat daripada pelbagai aspek sebelum dilaksanakan.
“Kalau perkara itu tidak memberi satu keuntungan malah keburukan kepada rakyat dan pengguna, kerajaan negeri tidak akan terlibat. Bagaimanapun, saya merasakan perlu ada kajian yang menyeluruh sebelum ia dilaksanakan,” katanya pada Majlis Hari Raya Ukom Bersama Media di Jalan Pejabat di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan Risda bercadang untuk menanam pokok ketum di seluruh negara bagi memenuhi permintaan pasaran luar negara.
Pengerusi Risda, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, jika diluluskan, Risda bercadang untuk mengusahakan projek perintis di negeri di Utara Semenanjung, sebelum penanamannya secara besar-besaran dilaksanakan di seluruh negara. - SH