KESEDARAN pemain mempertahankan maruah Terengganu yang tercalar sebelum ini, menjadi kunci kebangkitan mereka hingga menundukkan Felda United 1-0 dalam saingan Kumpulan D kempen Piala Malaysia, kelmarin.
Pemangku ketua jurulatihnya Mustaffa Kamal Abd Wahab berkata, kesedaran itu membuatkan pemainnya bermain bermati-matian selepas beberapa aksi hambar saingan Liga Super dan Piala Malaysia.
“Pujian harus diberikan kepada pemain yang tampil bermati-matian demi maruah Terengganu Darul Iman. Prestasi pasukan kami agak menurun dalam beberapa perlawanan sebelum ini dan titik peralihan skuad Terengganu berlaku apabila mereka menyedari peranan masing-masing untuk bangkit malam ini.
“Selain itu, nasib kami juga agak baik kerana empat minit terakhir Felda United gagal menjaringkan gol walaupun memperoleh beberapa peluang,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.
Mustaffa Kamal juga berharap kesemua pemainnya itu tidak lagi leka sebaliknya terus fokus menghadapi saingan Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.
“Kami akan memberi fokus satu demi satu perlawanan dan sebagai jurulatih, saya cuba melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan dengan berkesan,” katanya yang mengambil alih tugas itu buat sementara berikutan tindakan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) merehatkan Mike Mulvey.
Mengenai sama ada akan diambil sebagai ketua jurulatih baru selepas ini, Mustaffa Kamal menjelaskan dia tidak mahu memikirkan perkara itu sebaliknya menyerahkannya kepada pengurusan pasukan. - SH