Kalah Hatrik, T-Team Mahu Bangkit Bertemu Sarawak


Kuala Terengganu: Selepas hampa dalam tiga aksi terakhir kini barisan pemain T-Team hadir bagaikan harimau luka dan bertekad untuk membaham Sarawak dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini.

Malah, perubahan strategi yang akan diterapkan jurulatih berpengalaman Rahmad Darmawan dan pembantunya Mohd Azhari Salim sudah pasti akan membuatkan benteng pasukan Bujang Senang tidak dapat duduk senang untuk mengekang pergerakan rangkaian penyerang T-Team yang diketuai Patrick Dos Santos Cruz.

“Inilah janji pemain The Titans malam ini yang turun melayan kunjungan Sarawak yang boleh dikatakan bagaikan harimau terluka selepas gagal mencatat sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut termasuk dalam saingan Piala Malaysia,” kata Ketua Pegawai Operasi T-Team Mohd Syahrizan Mohd Zain.

Beliau berkata, pemain juga berazam untuk menamatkan badi kekalahan lalu dengan menjadikan skuad bimbingan David Usop itu sebagai permulaan untuk meneruskan rentak kemenangan seperti aksi dalam pusingan pertama liga.

“Hasil pertemuan dengan pemain, mereka bertekad untuk bangkit daripada kekalahan sambil mahu melupakan episod malang gagal mengutip sebarang mata daripada tiga perlawanan terakhir,” katanya.

Sementara itu, pengeluar nutrisi sukan tersohor Mesotropin Sdn Bhd (MESOTROPIN) yakin pasukan yang dikenali Leicester City Malaysia itu mampu bangkit daripada kekalahan untuk memburu tiga mata di laman sendiri malam ini.

Pengarah Projek MESOTROPIN Mohd Nakir Shayuki berkata, biarpun pasukan itu menempuhi episod malang dalam tiga perlawanan terakhir, pengalaman yang dimiliki ketua jurulatih Rahmad mampu mengembalikan semula reputasi terbaik pasukan apatah lagi dengan menggunakan produk keluaran Mesotropin iaitu Hydro Whey Protein.

Beliau berkata, penggunaan produk itu mampu membantu pemain untuk terus kekal cergas dan berada pada tahap prestasi terbaik.

“Kebiasaannya dalam perlawanan kompetitif seseorang pemain bola sepak berlari sejauh 13 kilometer yang menggabungkan sistem tenaga aerobik dan anaerobik untuk mencapai tahap maksimum mereka.

“Justeru dengan pengambilan produk ini tidak ada keraguan lagi kerana pemakanan berkenaan memainkan peranan yang besar kepada pemulihan, penyesuaian latihan dan prestasi seharian bagi memastikan pemain mempunyai tenaga apatah lagi dianggarkan sebanyak 30 perlawanan yang bakal ditempuhi setiap pemain bagi satu musim dalam Liga Malaysia,” katanya yang menyatakan Hydro Whey Protein adalah pilihan terbaik untuk ahli sukan kerana mengandungi protein dan karbohidrat yang tinggi. - HM