Che Ku Syamil Sumbang Dua Emas Untuk Terengganu Di Sukma


Che Ku Mohamad Syamil Che Ku Romli menghadiahkan keceriaan buat skuad Terengganu apabila meraih dua emas, masing-masing dalam acara individu dan berpasukan acara berbasikal 142km lepas beramai-ramai dalam Sukma Sarawak, hari ini.

Meskipun berlumba dalam keadaan demam dan hampir mengalami kekejangan pada 30km terakhir,  pelumba berusia 21 tahun itu bertekad meneruskan perlumbaan dengan cemerlang.

Satu bonus untuk Terengganu selepas mereka hanya mensasarkan pingat emas bagi kategori berpasukan sahaja dan bukan individu.

"Saya sangat gembira. Syukur. Terima kasih kepada yang menyokong saya, Majlis Sukan Negeri, ibu bapa dan kawan-kawan yang banyak membantu," katanya.

Sementara itu, Selangor selaku pemenang pingat emas acara individu dalam edisi lalu akur dengan kegagalan untuk mengulangi kemenangan.

Akmal Hakim Zakaria yang merangkul perak menyifatkan persaingan dengan Terengganu itu begitu sengit bermula dari awal perlumbaan lagi.

"Ini semuanya budak-budak baru (pasukan Selangor), tidak seperti kumpulan lepas, tiga kali pernah menyertai Sukma. Tetapi kumpulan baru ini ada yang pertama kali menyertai Sukma," kata Akmal.

Lelaki - 142km Lepas Beramai-ramai

Individu - 

EMAS: Che Ku Mohamad Syamil Che Ku Romli (TER)
PERAK: Akmal Hakim Zakaria (SEL)
GANGSA: Mohammad Izzat Hilmi Abd Halil (JOH)

(nota: Komisar perlumbaan memberi catatan masa yang sama iaitu 3 jam 23 minit 29 saat selepas ketiga-tiga pelumba menamatkan aksi dalam kelompok)

Berpasukan -

EMAS: Terengganu - 10:10:27s
PERAK: Johor - 10:10:27s
GANGSA: Selangor - 10:10:52s

(nota: Terengganu dan Johor mencatat masa yang sama tetapi komisar perlumbaan memberikan pingat emas kepada Terengganu kerana keempat-empat pelumba mereka melepasi garisan penamat lebih awal daripada Johor)  - SA