Aqilah Pecah Rekod Kebangsaan Di Sukma Sarawak


Atlet memanah Terengganu, Nur Aqilah Yusof, melakar kejutan selepas menjadi atlet pertama mencipta rekod kebangsaan bagi acara memanah 70 meter recurve individu wanita dalam Sukma Sarawak 2016, hari ini.

Atlet berusia 17 tahun itu mengumpul 331 mata, sekali gus memadam rekod sebelum ini yang pernah dikongsi oleh tiga atlet, iaitu Mon Redee Sut Txi, Shamani Ganesa dan Nur Aliya Ghapar dengan kutipan sebanyak 328 mata .

Tidak berjaya meraih sebarang pingat dalam Sukma edisi lalu, Aqilah terus melakar aksi cemerlang apabila turut merangkul emas kedua dalam acara 60 meter recurve individu wanita dengan mengumpul sebanyak 328 mata.

"Sebenarnya, saya tidak jangka apa-apa pun, macam berlatih sahaja di sini. Pagi tadi tiada angin sangat, jadi ia tidak memberi kesan sangat," katanya.

Sementara itu, atlet dari Kelantan, Muhammad Ikram Joni, tidak terlepas untuk turut sama memecah rekod Sukma bagi acara 90 meter recurve individu dengan mengumpul 310 mata, berbanding 296 yang pernah dilakukan ketika Sukma Perlis 2014.

Sama seperti Aqilah, pemenang pingat emas recurve berpasukan Sukan Sea 2015 itu terus menceriakan skuad Kelantan dengan pingat emas kedua menerusi acara 70 meter recurve individu.

"Sebelum ini di Perlis, saya agak tertekan tetapi pada Sukma kali ini, saya agak tenang," kata Ikram.