Terengganu Diwakili Satu Pasukan Tahun Depan?


KUALA TERENGGANU 20 April - Kerajaan negeri semakin hilang sabar dengan Terengganu FA dan Terengganu FC (TFC) yang terus menampilkan prestasi buruk beberapa tahun kebelakangan walaupun memiliki kewangan yang stabil, menyebabkan salah satu pasukan berkemungkinan dilupuskan mulai tahun depan.

“Saya dan kerajaan negeri sangat kecewa dengan prestasi pasukan Terengganu sejak kebelakangan ini. Saya rasa ini yang terburuk pernah saya lalui sejak bersama dengan pasukan Terengganu,” kata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat.

Beliau mengulas kekalahan terbaharu skuad Penyu kepada Perak di tempat sendiri malam tadi meskipun amaran terakhir telah diberi iaitu Terengganu mesti menang pertaru­ngan itu atau menghadapi akibat.

Beliau menegaskan, ekoran pres­tasi buruk itu, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) telah diarah mengemukakan laporan dengan segera berhubung masalah tersebut selewat-lewatnya esok.

“Kerajaan negeri menerusi mesyuarat Exco Kerajaan negeri hari ini membuat keputusan agar PBNST segera hantar laporan me­ngenai apa masalah sebenar yang melanda pasukan dan perkara itu akan kami bawa dalam mesyuarat Exco minggu depan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco Kerajaan negeri di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Rozi mengulangi kekecewaan­nya berikutan kemerosotan prestasi pasukan Terengganu dan beliau tetap kekal dengan pendirian awal sewaktu memberi amaran keras kepada persatuan berkenaan tempoh hari agar segera memperbaiki segala kelemahan.

Terengganu kini berada di tempat kelapan Liga Super dengan sembilan mata selepas kalah dalam perlawanan kelapan mereka malam tadi, sama mata dengan TFC di tempat ketujuh sebelum kelab itu bertemu Kedah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong itu turut me­negaskan, sekiranya prestasi skuad Terengganu masih tidak berubah, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan mengkaji dari segi kos pelaburan kepada pasukan itu untuk tahun depan.

Malah, jelasnya, kerajaan negeri juga berkemungkinan mengekalkan hanya satu pasukan untuk menghadapi liga Malaysia tahun depan, berbanding dua pasukan yang ada sekarang iaitu Terengganu dan pasukan berstatus kelab TFC yang dahulunya dikenali T-Team.

“Saya sentiasa tekankan apa yang dilaburkan itu biarlah pula­ngannya setimpal kepada kerajaan dan rakyat khususnya peminat bola sepak Terengganu. Tahun depan kita akan tengok, kemungkinan akan kaji semula kewajaran kami untuk kedua-dua pasukan ini.

“Kami nak cari pasukan terbaik, kalau dua pasukan (Terengganu dan TFC) tak bagus, kami akan wujudkan hanya satu pasukan yang kuat. Kalau prestasi pasukan TFC bagus, kami akan kekalkan pasukan ini.

“Kalau ada perubahan, tahun depan mungkin kami akan jimatkan kos. Kami tidak menolak kemungkinan hanya satu pasukan saja. Kalau masalah begini berterusan, untuk apa nak buat dua atau tiga pasukan,” tegasnya.

Menurutnya, setiap tahun, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM20 juta kepada pasukan Terengganu manakala TFC me­nerima kira-kira RM10 juta.

Beliau juga menggesa agar PBSNT segera mengadakan Mesyuarat Agung Tahunannya (AGM) dalam usaha menyelesaikan kemelut yang melanda pasukan Terengganu sejak akhir-akhir ini.

Ditanya lagi sama ada pengurusan dan pasukan Terengganu bakal dirombak ekoran kemerosotan prestasi skuad itu, beliau berkata, kerajaan ne­geri tidak boleh campur tangan dalam urusan itu melainkan menyerahkannya kepada pihak PBSNT untuk menanganinya. - Utusan