Tiada Sekatan Jalan Raya Pada Musim Raya - JPJ

KUALA SELANGOR – Berkuatkuasa tengah malam ini, tiada lagi sekatan jalan raya dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Sebaliknya, kesalahan lalu lintas tertentu akan dirakam menggunakan kamera oleh 3,500 penguatkuasa bertugas di seluruh negara.

Sesiapa yang cuba merasuah penguatkuasa JPJ mereka akan diheret ke muka pengadilan.

Itu antara pendekatan terbaru JPJ dalam kempen bersepadu Agensi Keselamatan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Siang tadi, berlangsung majlis pelancaran operasi penguatkuasaan bersepadu musim perayaan Aidilfitri.

Ia dirasmikan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan.

Tugas merakam gambar kenderaan dan pelaku kesalahan jalan raya akan dilakukan penguatkuasa berpakaian preman.

Datuk Solah Mat Hassan, Ketua Pengarah JPJ: “Mereka akan ambil gambar. Kalau guna telefon semasa memandu, potong sebelah kiri, lorong kembar, lorong kecemasan. Peronda banyak guna kamera sementara elak jam. Mereka yang disyak akan disiasat selepas raya.”

Bagi memastikan bas dinaiki penumpang selamat dari segi teknikal, JPJ turut menempatkan 240 anggotanya di 32 terminal bas utama di seluruh negara.

Mana-mana bas ekspres yang gagal pemeriksaaan Puspakom, kerana kegagalan sistem brek 3 kali berturut-turut, lesen kenderaan akan digantung sebulan.

Selain itu, pendekatan penyamaran sebagai penumpang akan dilakukan selain memeriksa bas ekspres di depoh bas.

Julung kalinya, Ops Aidilfitri JPJ tahun ini disertai SPRM.

Ia ekoran peningkatan kes iaitu cubaan merasuah pegawai JPJ membabitkan pemandu dan pemilik syarikat kenderaan.

Datuk Mustafa Ali, Pengarah Siasatan SPRM: “Dengan ada kempen berterusan, ada hasil 2 tahun ini. 4 tahun kebelakangan ini, kita amik tindakan lebih tinggi. [Sumber]