Datuk Lee Chong Wei Kempunan

KEMPUNAN LAGI... Chong Wei terpaksa melupakan hasrat merangkul kejuaraan dunia apabila tumbang di tangan Lin Dan pada aksi final di Arena Tertutup Wembley, London semalam.

JAGUH negara, Datuk Lee Chong Wei terus kempunan untuk merangkul kejuaraan dunia. Biarpun tampil selaku pemain No. 1 dunia, Chong Wei sekali lagi dibayangi kehandalan seteru utamanya dari China, Lin Dan.

Pada aksi final Kejohanan Badminton Dunia di Arena Tertutup Wembley, London semalam, Chong Wei tumbang dalam pertarungan tiga set.

Meskipun berjaya mencatatkan kemenangan 22-20 pada set pertama, Chong Wei terpaksa akur dengan kehebatan Lin Dan yang tampil dengan aksi penuh bertenaga untuk menang dua set berikutnya 21-14, 23-21.

Kejuaraan dunia yang dirangkul oleh Lin Dan itu merupakan yang keempat sepanjang kariernya.

Jaguh China berusia 28 tahun itu pernah bergelar juara dunia sebanyak tiga kali iaitu pada edisi 2006, 2007 dan 2009.

Sebaliknya, Chong Wei yang telah mencecah usia 29 tahun sekali lagi terpaksa melupakan hasrat muncul juara dunia selepas membuat penampilan sulung di Anaheim, Amerika Syarikat pada 2005.

Pencapaian terbaik Chong Wei sekadar mara ke peringkat separuh akhir kejuaraan dunia edisi 2005.

Sementara itu, pasangan China, Yu Yang/Wang Xiaoli muncul juara beregu wanita selepas menewaskan rakan senegara mereka iaitu Tian Qing/Zhao Yunlei 22-20, 21-11. - KOSMO

Tak ada rezeki lagi buat Datuk LCW masa nie.. permainan mmg cantik kalau nak diikutkan.. teruskan lagi Datuk LCW.. :)