KEDAI Rakyat 1Malaysia mendapat sambutan hangat pada hari pertama pembukaannya di stesen LRT Kelana Jaya, Selangor baru-baru ini.
MELAKA - Kerajaan dijangka membuka 24 Kedai Rakyat 1Malaysia di sekitar Lembah Klang sebelum akhir tahun ini.
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd. (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin berkata, daripada jumlah tersebut, empat buah kedai akan dibuka sebelum hari raya ini iaitu di Gombak, Selangor selain Cheras, Pantai Dalam dan Bandar Tun Razak masing-masing di Kuala Lumpur.
Menurutnya, baki daripada jumlah tersebut akan dibangunkan sebelum akhir tahun ini.
Kedai Rakyat 1Malaysia akan diurus oleh Mydin dan ia berkonsepkan pasar mini yang menjual barangan keperluan harian pada harga terendah dan berpatutan.
"Kerajaan dijangka membuka 60 Kedai Rakyat 1Malaysia pada tahun depan," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat mengenai kedai berkenaan di sini semalam.
Turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Sementara itu, empat buah Kedai Rakyat 1Malaysia bakal dibuka di negeri ini bagi memudahkan orang ramai membeli barangan buatan tempatan pada harga yang murah dan berpatutan.
Mohd. Ali menjelaskan, kedai itu akan diwujudkan di Kota Fesyen Melaka International Trade Centre (MITC) Ayer Keroh, Selandar, Jasin dan Masjid Tanah di sini.
"Empat buah kedai itu akan dibuka dalam tempoh terdekat ini yang mana ia terlibat dalam rancangan pengembangan bagi fasa pertama," ujarnya.
Mohd. Ali menjelaskan, dengan adanya kedai tersebut ia akan mengurangkan beban rakyat dalam berbelanja sekali gus memberi manfaat besar kepada pembekal tempatan. [Sumber]